VIDEO MUHYIDIN : Jangan Cepat Melatah, Ini fakta yang anda perlu tahu.

Susulan daripada tersebarnya video Muhyidin yang mendakwa Najib mengakui sejumlah wang telah masuk ke akaun peribadinya, ini adalah beberapa fakta yang dikongsikan oleh sahabat di dalam facebook.



Pembangkang Kayu

‪VIDEO MUHYIDDIN: Wang dalam akaun peribadi adalah hak dan rahsia peribadi

Dalam video perbualan TS Muhyiddin dengan tamunya, jelas disebut: “Saya tanya beliau wang siapa? Beliau tidak nyatakan. Hanya dari Timur Tengah.” “lepas tu saya tanya berapa banyak... Susah nak kiralah, dia cakap (Najib) a lot, a lot'” Kemudian Muhyiddin menyebut, "Kenapa masuk akaun personal Najib Razak?”

Persoalannya dari mana datangnya nilai RM2.6 bilion? Jelasnya, itu adalah andaian dan dakwaan Muhyiddin sendiri. Dakwaan ini tiada perbezaan dengan andaian dan dakwaan yang dibuat oleh WSJ.

Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi, itu hak dan rahsia peribadi individu yang tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai. Sama seperti duit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi kita.

Lainlah jika ada dakwaan bahawa duit itu datang dari sumber yang salah. Barulah seseorang itu perlu membuat perisytiharan, tetapi bukan kepada umum. Dia hanya perlu buat perisytiharan kepada pihak berkuasa yang membuat siasatan.

Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang sebagai bantuan dana politik, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut. Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya. Sama ada dia hendak menggunakannya untuk membantu orang, hendak diberikan kepada jentera atau apa saja, itu adalah hak beliau.

Lainlah jika bantuan dana tersebut dimasukkan dalam akaun parti, persatuan, yayasan atau syarikat, barulah dikatakan bahawa dana tersebut untuk parti, persatuan, yayasan atau syarikat. Sekiranya ini berlaku, maka parti, persatuan, yayasan dan syarikat tersebut hanya boleh membelanjakan wang tersebut mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

Misalnya, jika ada seorang individu hendak membantu seorang Ketua UMNO Bahagian, dan jika dia masukkan duit tersebut ke dalam akaun peribadi Ketua UMNO Bahagian tersebut, maka itu adalah dana untuk kegunaan politik peribadi Ketua UMNO Bahagian itu. Ketua UMNO Bahagian tersebut tidak perlu mengisytiharkan kepada umum, daripada siapa wang itu diperolehi dan berapa jumlah yang diberi.

Hanya jika wang tersebut masuk akaun persatuan, yayasan atau syarikat yang dimiliki oleh Ketua UMNO Bahagian tersebut, barulah perinciannya perlu dinyatakan dalam penyata kewangan persatuan, yayasan atau syarikat yang dimiliki tadi dan dibelanjakan mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan. Itupun, bagi dana untuk parti politik, tidak ada peraturan yang memerlukan nama penyumbang dinyatakan bagi menjaga kepentingan penyumbang tersebut.

Bagaimanapun jika ada dakwaan bahawa wang yang masuk ke dalam akaun seseorang individu adalah dari sumber yang salah, maka barulah timbul soal ada pembuktian, daripada siapa duit itu diterima dan kenapa ia diberikan. Jika ia didakwa datang dari sumber rasuah, maka perlulah dibuktikan siapa pemberi dan ia diberi sebagai rasuah untuk tugas atau projek apa.

Dalam kes akaun peribadi Najib Razak, duit dikatakan datang dari sumber 1MDB dan hasil pelaburan usaha sama dengan Petrosaudi. Dalam hal ini, penyiasat boleh merujuk penyata akaun dan dokumen daripada 1MDB dan Petrosaudi, sama ada benar duit dari sumber ini masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak atau tidak. Setakat ini penyata kewangan beraudit 1MDB dan Petrosaudi tidak menunjukkan duit itu datang daripada mereka. Biarlah Pasukan Petugas Khas Empat Agensi menyiasat dokumen-dokumen ini.

Jika duit itu digunakan untuk tujuan salah, maka Pasukan Petugas Khas juga boleh menyiasat sama ada duit itu adalah duit hasil penggubahan wang (money laudering) atau digunakan utk tujuan-tujuan jenayah dan yang menyalahi undang-undang. Jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang dari segi penggunaan wang, maka pihak berkuasa boleh mengambil tindakan. Bagaimanapun jika tujuannya baik, misalnya untuk membantu rakyat, kita tertanya-tanya juga pihak berkuasa hendak mengambil tindakan di bawah peruntukan apa?

Semasa berlaku transaksi, bank terbabit perlulah memaklumkan kepada Bank Negara berkenaan transaksi tersebut. Itu soal peraturan perbankan dan akta-akta berkaitan yang perlu dipatuhi oleh bank tersebut. Tanggung jawab pendeposit cuma perlu memaklumkan dari mana sumber wang dan tujuannya apabila ditanya oleh Bank Negara.

Sesiapa sahaja boleh menyumbang wang untuk membantu Najib dan parti. Jika mereka mahu ia digunakan untuk membantu parti, mereka akan dimasukkan ke dalam akaun parti atau organisasi yang berkaitan parti. Tetapi jika mereka mahu membantu individu yang bernama Najib Razak, itu hak mereka yang membuat pilihan tersebut.

Biarlah Pasukan Petugas Khas menjalankan tugas mereka menyiasat dakwaan yang ada. Muhyiddin sepatutnya menyerahkan tugas tersebut kepada Pasukan Petugas Khas dan bukan menimbulkan spekulasi kerana kecewa selepas digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

0 Response to "VIDEO MUHYIDIN : Jangan Cepat Melatah, Ini fakta yang anda perlu tahu."

Post a Comment